Kongsi pengalaman, pandangan dalam reformasi institusi





Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah



TUNGKU, Khamis, 5 Februari. - Dalam usaha untuk terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju kecemerlangan akademik dan inovasi, Universiti Brunei Darussalam (UBD) pagi tadi menganjurkan satu siri kuliah umum bertajuk, 'Knowledge for Sustainable Excellence'.


Kuliah yang diadakan di Bangunan Pro-Chancellor and Arts Centre, UBD itu disampaikan oleh Professor Emeritus Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.


Juga hadir ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lau How Teck dan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat.


Semasa menyampaikan kuliah umum tersebut, Professor Emeritus Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang antara lain menyentuh, dalam situasi institusi pengajian tinggi di seluruh dunia berdepan dengan cabaran besar termasuk ketidaktentuan ekonomi global, keperluan yang mendesak terhadap kelestarian alam sekitar serta perubahan pesat dalam memenuhi kehendak masyarakat, siri kuliah umum ini menyediakan platform perbincangan strategik mengenai keupayaan universiti untuk terus berdaya tahan dan berkembang dalam landskap pengajian tinggi yang semakin kompleks.


Beliau juga berkongsi mengenai pengalaman dan pandangannya yang amat luas dalam reformasi institusi, pembangunan mampan, dan advokasi alam sekitar. Di mana kepakaran beliau di peringkat serantau dan antarabangsa juga telah menjadikan kuliah umum tersebut amat relevan dalam membincangkan hala tuju masa depan pengajian tinggi.


Melalui siri kuliah umum ini, UBD berhasrat untuk meneroka model kewangan baharu yang lebih mampan bagi memastikan kelangsungan dan kebebasan institusi dalam menghadapi cabaran ekonomi.


Selain itu, kuliah tersebut bertujuan untuk memperkukuh kepimpinan dan tanggungjawab alam sekitar sebagai nilai teras universiti, menggalakkan dialog strategik antara ahli akademik, para penggubal dasar, pemimpin industri dan para pelajar.


Pada masa yang sama, melalui kuliah tersebut, ia juga berhasrat untuk meletakkan UBD sebagai pusat pemikiran dan rujukan serantau dalam menangani cabaran pengajian tinggi.


Siri kuliah umum ini dianjurkan bersama oleh Office of Assistant Vice Chancellor (OVAC), Industry Engagement and Enterprise Development (IEED) dan UBD School of Business & Economics (UBD SBE).


Siri tersebut bukan sahaja salah sebuah program akademik, malah ia merupakan satu usaha bersepadu untuk melibatkan pelbagai pihak berkepentingan ('stakeholder') dalam memacu transformasi dan kecemerlangan mampan.


Kuliah tersebut juga dihadiri oleh warga UBD, penggubal dasar, pemimpin industri, pendidik serta orang ramai.



Close